Unit Trust

Unit amanah
Unit amanah dibentuk menjadi pelaburan paling diminati. Mengapa? Biasanya jawapan pelabur adalah untuk mencapai kepelbagaian, justeru dapat mengurangkan risiko, dengan jumlah dana yang kecil. Ia juga mengenai perlunya mendapat perkhidmatan daripada golongan profesional yang berkemahiran untuk mengurus wang anda. Ketahui lebih lanjut tentang unit amanah dalam:

Apakah Unit Amanah
Jenis-jenis Unit Amanah
Kelebihan dan Kekurangan Unit Amanah
Perkara Bijak yang Perlu Diketahui Mengenai Unit Amanah

Dunia Luas Unit AmanahApakah unit amanah?
Unit amanah semakin popular beberapa tahun kebelakangan ini. Ini kerana unit amanah merupakan jalan bagi pelabur kecil untuk meluaskan kepelbagaian pelaburan tanpa perlu had jumlah wang yang dilaburkan. Manfaatnya pula bukan setakat itu sahaja.

Tetapi, apakah unit amanah? Unit amanah merupakan skim pelaburan yang mengumpulkan wang daripada ramai pelabur yang berkongsi matlamat kewangan yang sama. Sebagai pertukaran kepada wang itu, dana menerbitkan unit kepada pelabur yang dikenali sebagai pemegang unit. Pemegang unit boleh menjual semula (iaitu menebus) unit mereka kepada dana, atau membeli (dan menjual) unit seterusnya.

Pengurusan dana
Dana diurus oleh sekumpulan pengurus profesional (dikenali sebagai syarikat unit amanah) yang akan melabur wang yang terkumpul dalam portfolio sekuriti seperti saham, bon dan instrumen pasaran wang atau lain-lain sekuriti yang dibenarkan untuk mencapai objektif dana. Disebabkan jumlah besar wang terkumpul, pengurus dana boleh mempelbagaikan pelaburan dan ini boleh meminimumkan risiko pelaburan.

Pendapatan
Jumlah aset dana menentukan nilai dana dan harga dibayar oleh pemegang unit atau jumlah yang diterima apabila mereka menebus unit. Dana unit amanah memperoleh pendapatan daripada pelbagai pelaburan dalam bentuk dividen, pendapatan faedah dan perolehan modal. Pendapatan ini kemudian diagihkan kepada pemegang saham mengikut nisbah pegangan unit mereka, dalam bentuk dividen atau unit bonus.

Perlindungan untuk pemegang unit
Sebagai pemegang unit, perlindungan anda dalam unit amanah dipastikan melalui cara unit amanah itu dibentuk. Unit amanah sebenarnya satu amanah. Perlindungan terkandung dalam surat ikatan yang menyatakan kewajipan, tanggungjawab dan jangkaan tiga pihak dalam unit amanah iaitu:

Pemegang unit amanah yang memperuntukkan dana untuk pelaburan;
Syarikat unit amanah yang menyediakan pelaburan, perkhidmatan pentadbiran dan pemasaran; dan
Syarikat pemegang amanah yang memegang aset amanah bagi pihak pemegang unit.

Ada tiga sumber maklumat yang perlu anda kaji apabila memilih dana. Sumber tersebut ialah prospektus dana, surat ikatan amanah dan penyata kewangan yang mengandungi laporan tahunan dan interim yang boleh didapati secara percuma untuk semakan di premis pengurus dana.

Baca prospectus
Prospektus merupakan dokumen yang amat penting kerana ia membentangkan matlamat dana, strategi perlaburan dan polisi serta kedudukan ganjaran dan risiko yang diambil. Ia mungkin bahan bacaan yang penuh dengan istilah perundangan, tetapi anda perlu membaca dengan teliti untuk memastikan bahawa matlamat anda sama dengan dana tersebut. Akaun kewangan akan menunjukkan jika dana masih mengikut perancangan dan bagaimana pencapaiannya dalam perancangan tersebut. Bagaimanapun sebagai pelabur, anda perlu mempertimbangkan faktor berikut ketika memilih dana:

Objektif pelaburan – ia perlu dinyatakan dengan jelas, jika tidak pengurus dana berpeluang untuk tidak melaksanakan apa yang anda kehendaki ketika memilih dana tersebut.
Polisi pelaburan – jenis pelaburan dan strategi yang dibenarkan perlulah sama dengan yang anda yakini.
Saiz dana dan aliran pertumbuhan.
Sebarang sekatan pelaburan, seperti pelaburan minimum dikehendaki.
Tahap risiko pelaburannya – unit amanah tidak terlepas daripada risiko sepenuhnya.
Jenis dan jumlah yuran – fahami supaya anda tidak terkejut.
Prestasi lepas jumlah pulangan tahunan, NAV (nilai aset bersih, iaitu nilai bagi setiap unit), nisbah belanja, dan terutama pembahagian pendapatan kepada pelabur, dan pertumbuhan aset – supaya anda boleh mengukur prestasi dana selama ini.
Portfolio pelaburan terkini – supaya anda tahu peratusan pegangan bagi setiap jenis aset.
Maklumat berkenaan Lembaga Pengarah dan kumpulan pengurusan utama (terutamanya pengurus dana, juruaudit dan pemegang amanah).

Jenis Unit Amanah

Unit amanah dianggap sebagai instrumen yang baik untuk perancangan kewangan jangka sederhana hingga jangka panjang. Walau bagaimanapun, amat penting anda memilih dana yang sesuai, berdasarkan profil risiko dan objektif pelaburan anda. Berikut ialah senarai jenis unit amanah yang terdapat di pasaran:

Dana pendapatan: Melabur dalam sekuriti pendapatan tetap dan saham yang menghasilkan dividen yang besar dengan harapan akan membayar sebahagian besar daripada pulangan. Sesuai untuk pelabur yang mencari pendapatan dan sedikit pertumbuhan dengan risiko yang rendah.

Dana pertumbuhan modal: Melabur terutama sekali dalam saham dengan harapan akan memaksimumkan pertumbuhan modal dalam jangka masa panjang (iaitu melalui harga unit yang lebih tinggi). Paling diminati oleh pelabur yang suka kepada risiko tinggi dan berminat terhadap pengumpulan modal.

Dana pertumbuhan agresif: Sama dengan dana pertumbuhan modal tetapi pelaburan dibuat dalam saham agresif yang menjanjikan pulangan tinggi dengan risiko yang lebih tinggi. Sesuai untuk pelabur berisiko tinggi.

Dana terimbang: Mempunyai tiga objektif: pendapatan, kenaikan nilai sederhana dan pemeliharaan modal. Pelaburan dibuat dalam pelbagai kategori aset yang merangkumi saham, sekuriti pendapatan tetap dan wang tunai. Kepelbagaian yang baik dan sesuai bagi pelabur yang mencari pelaburan selamat di mana risikonya lebih rendah dan menghasilkan pulangan yang sederhana.

Dana indeks: Melabur dalam sejumlah besar saham yang menjejaki indeks pasaran saham terpilih.

Dana bon: Melabur hanya dalam sekuriti pendapatan tetap seperti bon dan instrumen pasaran wang jangka pendek. Semua dana bon tertakluk kepada risiko kadar faedah dan kebanyakannya tertakluk kepada risiko kredit atau risiko mungkir penerbit sekuriti.

Dana pasaran wang: Melabur hanya dalam instrumen pasaran wang jangka pendek seperti bil perbendaharaan, sijil deposit boleh niaga dan penerimaan jurubank, dengan tempoh kematangan kurang dari 90 hari. Oleh kerana dana dilaburkan dalam instrumen pasaran wang, pulangan yang diterima, walaupun kecil, pada amnya lebih menarik jika dibandingkan dengan deposit simpanan. Sesuai untuk pelabur yang mahu kecairan dalam pelaburan dan menjadi tempat sementara untuk menyimpan dana sebelum melabur dalam dana lain.

Dana Islam: Diuruskan berlandaskan prinsip Syariah; pelaburan dibuat dalam saham dan sekuriti pendapatan tetap dan tidak merangkumi saham tidak halal dan instrumen pasaran wang berfaedah.

Dana negeri: Diuruskan oleh perbadanan pembangunan negeri untuk pelabur dari negeri masing-masing.

Kelebihan dan Kekurangan

Kelebihan melabur dalam unit amanah:

Mengikut kemampuan
Ini merupakan kelebihan yang nyata sekali – tidak banyak kos diperlukan untuk melabur dalam dana amanah. Bagi pelaburan permulaan serendah RM500, pelabur boleh membeli dana dan mendapat:

Kepelbagaian segera
Pelabur dalam unit amanah berpeluang menyertai lebih banyak sekuriti berbanding dengan pelaburan yang dibuat secara persendirian. Dengan modal yang sedikit, pelabur persendirian hanya mampu membeli sejumlah kecil saham dan terhad dalam beberapa syarikat sahaja. Tetapi apabila wang tersebut dilabur dalam dana unit amanah, dia akan memperoleh kepelbagaian segera – wangnya akan terkumpul bersama-sama wang pelabur lain dan menghasilkan modal yang banyak dan boleh digunakan untuk membeli saham lebih banyak syarikat disebabkan kuasa beli lebih besar.

Dengan kepelbagaian, risiko boleh dikurangkan. Kerugian di beberapa kaunter boleh diimbangi oleh keuntungan diperoleh di kaunter lain. Pelabur boleh terus mengurangkan risikonya dengan melabur dalam beberapa dana dan tidak terhad kepada satu dana sahaja.

Mudah tunai
Pembelian dan penjualan unit amanah lebih mudah berbanding melabur terus dalam saham sesebuah syarikat di mana harga dan peluang untuk membuat urus niaga bergantung kepada penawaran dan permintaan saham pada masa itu.

Pengurusan profesional yang berterusan
Unit amanah diuruskan oleh kumpulan profesional berpengalaman yang menguruskan dana secara teratur dan berdasarkan fakta berbanding pelabur individu yang mungkin membuat pelaburan secara rambang. Keputusan pelaburan yang diambil oleh pengurus dana dibuat berdasarkan penyelidikan meluas dan kemahiran melabur mereka sendiri, dan mereka akan terus mengawasi portfolio berdasarkan maklumat yang telah diselidiki.

Mengurangkan tekanan
Pelabur tidak perlu risau kerana tidak perlu mengawasi sendiri pelbagai pelaburan yang dibuat olehnya – mengawasi prestasi dan membuat keputusan bila hendak membeli atau menjual. Sebaliknya pelabur mempunyai kumpulan profesional yang berkemahiran menguruskan untuknya. Pemegang unit menerima laporan interim setiap enam bulan mengenai perkembangan dana mereka, perubahan pelaburan yang dibuat dan bayaran dividen, juga pendapat pengurus dana berhubung pasaran pelaburan dan ekonomi. Mereka juga menerima laporan tahunan.

Peluang memiliki aset kewangan lebih meluas
Pengurus dana unit amanah boleh menjual beli produk pelaburan yang biasanya tidak berpeluang didekati oleh pelabur individu, seperti bon kerajaan dan bon korporat, yang mungkin dihadkan kepada pelabur institusi sahaja. Sebahagian daripada produk ini diniagakan dalam jumlah besar, dan ini mengehadkan kemampuan pelabur individu walaupun mereka diberikan peluang tersebut.

Kekurangan melabur dalam unit amanah

Tertakluk kepada risiko pasaran
Memandangkan unit amanah melabur dalam sekuriti boleh pasar, sudah tentu ia terdedah kepada pergerakan pasaran. Pempelbagaian dalam pelaburan boleh membantu mengurangkan risiko tetapi tidak dapat menghapuskan terus risiko. Harga unit amanah turun naik, dividen mungkin dibayar ataupun tidak, dan anda mungkin mendapat untung atau rugi apabila menjual unit itu.

Tidak sesuai bagi pelaburan jangka pendek
Unit amanah merupakan jentera pelaburan yang sesuai bagi pelaburan jangka sederhana hingga panjang. Ini kerana keuntungan daripada pelaburan dalam unit amanah tidak diperoleh segera. Seseorang boleh menjual unit yang dipegang apabila harga unit itu naik. Walau bagaimanapun, kenaikan harga, yang bergantung kepada pergerakan harga pasaran, biasanya lebih perlahan daripada pergerakan pasaran.

Kesan pempelbagaian berlaku secara dua hala iaitu risiko tertebar apabila pasaran mengalami kejatuhan, begitu juga ganjaran apabila pasaran meningkat. Dividen bagi unit amanah diberi secara berkala dan kesan pengkompaunan hanya dirasai dalam masa apabila keadaan ekonomi yang menguntungkan.

Tiada perkhidmatan ikut arahan
Pelabur unit amanah membeli instrumen pelaburan besar-besaran, oleh itu mereka tidak mempunyai kawalan terhadap keputusan pelaburan yang dibuat oleh pengurus dana. Mereka tidak boleh memberitahu pengurus apakah saham yang hendak dibeli atau yang mana jangan dibeli, dan bila hendak dijual. Pengurus dana bertindak mengikut penasihatnya sendiri, bukannya pelabur. Pelabur hanya boleh memastikan bahawa objektif dan polisi pelaburan dana selaras dengan objektif mereka. Oleh itu, penting para pelabur membaca prospektus pelaburan secara teliti dan memilih pelaburan secara bijak.

Kos yang Dikaitkan dengan Unit Amanah

Ada beberapa kos dikenakan kepada pelabur unit amanah. Amat penting anda memahami pelbagai yuran yang dikenakan kepada anda oleh pengurus dana kerana ia akan mempengaruhi jumlah pulangan diterima.

Syarikat unit amanah dibenarkan mengenakan tiga jenis yuran:

Bayaran perkhidmatan awal – biasanya bayaran ini dimasukkan dalam harga jualan unit dana;
Yuran pembelian semula – bayaran ini boleh dimasukkan dalam harga pembelian unit dana; dan
Yuran pengurusan – ini ialah yuran syarikat kerana mentadbirkan dana dan bayaran dikenakan terus kepada dana.

Selain daripada itu, terdapat beberapa perbelanjaan lain seperti yuran pemegang amanah dan perbelanjaan brokeraj yang ditanggung oleh dana.

Anda patut meneliti yuran yang dikenakan bagi pelbagai dana pilihan anda. Yang paling penting ialah pengurus dana perlu cekap dalam menjalankan urusan. Tidak guna memilih dana murah jika diuruskan oleh pengurus dana kurang baik, tetapi pengurus dana yang baik mungkin mengenakan yuran yang tinggi.

Perkara Bijak yang Perlu Diketahui mengenai Unit Amanah

Pilih dana yang sesuai
Terdapat pelbagai jenis dana yang ditawarkan oleh syarikat unit amanah. Tiga kategori utama ialah dana ekuiti yang boleh memaksimumkan pertumbuhan modal; dana bon yang bermatlamat memberikan pendapatan tetap; dan dana terimbang yang merupakan gabungan dua kategori dana di atas, memperuntukkan pertumbuhan modal dan pendapatan. Memandangkan jenis, bilangan dan pengkhususan dana unit amanah semakin berkembang, ia mencukupi untuk memenuhi kehendak pelabur yang berbeza. Anda perlu memilih dana yang mempunyai objektif dan cara pelaburan yang menggambarkan matlamat dan program pelaburan anda. Jika anda inginkan pertumbuhan modal jangka panjang, melaburlah dalam dana yang menawarkan pertumbuhan modal dan bukan pendapatan.

Yuran dan komisen

Berhati-hati dengan yuran dan komisen yang dikenakan kepada anda oleh pengurus dana kerana ia akan mempengaruhi kos, dan juga pulangan yang anda terima. Apakah bayarannya sama dengan dana lain?

Pengurus dana

Pilih pengurus dana anda. Teliti prestasinya dari segi saiz dana yang diuruskan dan pulangan yang diperoleh. Pilihlah pengurus yang telah terbukti cekap dan berwibawa, dan apabila telah membuat pilihan, biarlah pengurus itu – yang anda pilih berdasarkan bakat dan mempunyai lebih banyak sumber maklumat jika dibandingkan dengan anda – menjalankan tugasnya.

Awasi prestasi dana

Tetapi itu tidak bermakna anda boleh lepas tangan sepenuhnya. Anda perlu mengawasi untuk memastikan dana tidak menyimpang daripada matlamat yang dinyatakan dalam prospektus. Buat ukuran rujuk prestasi dana anda berbanding dengan satu indeks yang bersesuaian. Misalnya anda mungkin mahu dana menyamai atau lebih baik daripada prestasi Indeks Komposit BSKL atau dana bon, untuk menyamai atau menandingi kadar pulangan purata akaun simpanan tetap. Pergerakan turun naik pasaran dalam jangka pendek mungkin boleh diterima tetapi prestasi yang kurang memberangsangkan bagi tempoh jangka panjang wajar dijadikan sebab yang munasabah untuk menimbangkan semula pelaburan anda.

Prestasi penilaian

Bayaran agihan (dividen) lumayan yang diberikan oleh dana tidak bermakna prestasinya baik. Malah, apabila dividen diberikan kepada pemegang unit, ia akan mengurangkan nilai aset bersih (NAV) dana yang juga mengurangkan harga unit. Anda harus menggunakan kaedah ‘jumlah pulangan’ (yang mengambil kira agihan, sekiranya ada, dan keuntungan atau kerugian modal seperti dipaparkan dalam harga saham) apabila menilai prestasi anda.

Berurusan hanya dengan ejen berdaftar

Sekiranya dihubungi oleh seorang ejen, pastikan ejen tersebut berdaftar dengan Persekutuan Pengurus Amanah Saham Malaysia (FMUTM). Jangan percaya kepada pengakuan lisan seorang ejen yang mengeluarkan sendiri bahan promosi yang bukan diterbitkan oleh syarikat pengurusan unit manah. Semak penyata atau sijil yang diterima daripada dana dan simpan rekod pelaburan anda.

About The Author