Persoalan Lelaki Memakai Gelang Magnet

SEKARANG ramai lelaki yang memakai gelang tangan atas maksud perubatan. Saya ingin mendapatkan pandangan Dr apakah hukumnya kita memakai gelang berkenaan?

Ini kerana ada pendapat mengatakannya haram walaupun atas tujuan perubatan kerana banyak cara lagi yang boleh digunakan untuk perubatan?

AZMAN
Terengganu.

AKSESORI seperti cincin, rantai, gelang dan anting-anting termasuk dalam barangan perhiasan yang biasa dipakai wanita. Bagi lelaki Islam membenarkan pemakaian cincin daripada perak. Memakai perhiasan lain tidak dibenarkan bertujuan menjaga sifat lelaki dan membezakan antara wanita dan lelaki dalam berhias.

Berhias cantik adalah satu sifat wanita. Bagi lelaki, mereka perlu bekerja kuat dan memakai perhiasan lebih mengganggu kerjayanya.

Dengan itu memakai perhiasan seperti gelang dan sebagainya tidak dibenarkan bagi lelaki secara umum. Ia adalah berhias secara berlebih-lebihan dan menyerupai sifat wanita.

Bagaimanapun, Islam tidak begitu rigid apabila membenarkan pemakaian sutera bagi lelaki dalam kes-kes tertentu seperti mereka yang menghadapi masalah kulit.

Begitu juga dengan pemakaian gelang yang tertentu apabila terbukti mengandungi ubatan terutama yang menghadapi masalah kesihatan.

Pada pandangan saya pula, mengharapkan pemakaian gelang sahaja dalam memelihara kesihatan tidak memadai sebagai alasan bagi lelaki untuk memakainya. Ada banyak cara lain yang lebih sesuai seperti senaman dan sebagainya.

Di samping itu kita perlu sedar bahawa ajaran Islam yang inginkan umatnya tidak terpengaruh dengan perkara-perkara khurafat. Ini jelas apabila Rasulullah melarang pemakaian gelang kerana dikhuatiri terjerumus dalam khurafat dan tahyul.

Ahmad meriwayatkan: “Bahawasanya Nabi s.a.w telah melihat seorang lelaki di tangannya ada gelang daripada tembaga, Nabi s.a.w bertanya: “Apakah ini?” Orang itu menjawab: “Ia daripada al-wahinah (iaitu, penyakit yang kena pada tangan).” Sabda Nabi saw: “Tanggalkannya segera, sesungguhnya dia tidak menambahkan kepadamu melainkan kelemahan. Sesungguhnya jika kamu mati dan gelang itu ada padamu, kamu tidak akan berjaya selama-lamanya.” (Ahmad). (Untuk lebih lanjut lihat, http://soaljawab.wordpress.com/2007/12/08/hukum-lelaki-pakai-gelang-untuk-perubatan/).

This entry was posted in Gelang Magnet, Uncategorized. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *